Sunday, April 19, 2009

MEdiA PeRosaK PemiKirAn (MPP)....


Salam perjuangan buat semua pembaca, diharapkan pembaca semua dikurniakan kesihatan dan kecergasan minda yang baik. Pada posting kali ini penulis rasa terpanggil untuk membincangkan tentang kesan dan pengaruh media yang penulis lihat sangat jelas lebih banyak mendatangkan infeksi negatif kepada rakyat terutamanya anak muda akhir-akhir ini. Kepada yang sentiasa terdedah kepada rancangan televisyen pastinya akan tahu apakah bentuk filem yang banyak disajikan kepada rakyat mutakhir ini, contohnya filem-filem seram, tahyul,khurafat dan tiada langsung nilai moral yang boleh diambil manfaat oleh penonton banyak ditayangkan ditelevisyen.

Antaranya yang sempat penulis tatap ialah ceplos, jangan tegur, jangan pandang belakang dan puaka niang rapik. Sebenarnya banyak lagi filem-filem dan drama yang berkisar tentang seram dan tahyul. Penulis amat bimbang akan kesan negatif yang akan menimpa generasi muda sekarang yang mana merekalah yang akan mengambil alih tugas memimpin negara dan mendaulatkan hukum Allah dibumi Malaysia. Sekiranya pemikiran mereka telah diracuni oleh unsur-unsur seram ini tidak mustahil akan hilangnya keberanian dan kegagahan mereka untuk berdepan dengan suasana yang sungguh mencabar dewasa ini.

Negara tidak akan dapat melahirkan seorang anak muda yang berjiwa pejuang sebagaimana dizaman Rasulullah dahulu, lahirnya panglima perang Islam yang muda seperti Ali B Abi Talib,Zaid B Harithah dan banyak lagi golongan muda yang menjadi tunjang kemenangan Islam. Penulis tidak menolak kemunculan filem-filem seram yang banyak memenuhi media elektronik akhir-akhir ini adalah perancangan rapi musuh islam terutamanya Yahudi laknatullah malah mendapat kerjasama daripada umat islam yang jahil terhadap agama mereka sendiri serta tiadanya nilai sensitiviti terhadap kesan negatif yang bakal merosakkan minda masyarakat sebaliknya hanya memikirkan soal keuntungan dan habuan yang lumayan daripada program yang merosakkan itu.

Natijah daripada itu kanak-kanak terutamanya akan takut ke bilik air seorang diri tanpa ditemani, tidur malam takut berseorang diri dan keluar malam akan takut dan gerun. Meskipun ada kebaikan tertentu yang dapat diperolehi oleh ibu bapa tetapi kesan buruk akan lebih menimpa kanak-kanak tersebut selain membantut potensi yang ada pada kanak-kanak tersebut. Dengan media yang menyajikan cerita-cerita seram setiap hari, ibubapa juga menggunakan teknik yang salah dalam mendidik anak dengan menakut-nakutkan mereka, kononnya dicekup hantu atau disembunyikan puaka dan sebagainya.

Dalam Al-Quran Allah berfirman"Dan bahawa sesungguhnya adalah amat salah perbuatan beberapa orang dari manusia(daripada kalangan lelaki), menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu, mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat"(Surah Al jin ayat 6). Jin-jin ini sebenarnya tidak berkemampuan untuk memudaratkan manusia apatahlagi memberi perlindungan, sekadar menggertak atau menakut-nakutkan munkin boleh, cuma manusia yang terlebih takut sehingga mendatangkan pelbagai musibah kepada mereka.

Siaran filem-filem seram ini seperti cuba memesongkan masyarakat umumnya dan umat Islam khasnya terhadap apa yang sepatutnya mereka takut. Contohnya berkenaan dengan seksa dialam kubur, pertanyaan malaikat dialam kubur dan kedahsyatan azab api neraka yang akan mendatangkan keinsafan dan menjadikan masyarakat lebih dekat kepada Allah. Seharusnya filem-filem seram yang ada sekarang perlu dihentikan daripada ditayang untuk tatapan umum, sebaliknya pemikiran masyarakat Islam perlu ditanam didalam minda mereka supaya takut kepada seksa kubur yang pasti berlaku, dan azab kubur sedang menungu mereka yang fasiq, berakhlak buruk, berziana, perasuah, pencuri,perompak, peminum arak dan pembunuh akan menghadapi seksa kubur tersebut. Dengannya akan terdidik manusia kepada mencintai amar ma'ruf nahi munkar bagi mengelak dari seksa kubur tersebut.

Apakah alasan tidak boleh ditayangkan kerana menakutkan hanya kepada hal-hal yang berkaitan dengan keagamaan yang mendidik kearah kebaikkan, sedangkan cerita-cerita seram yang tidak memberi apa-apa manfaat dibolehkan. Justeru menjadi kewajipan dan tanggungjawab kepada kita semua yang menyedari hakikat itu untuk terus berusaha menyelamatkan masyarakat daripada terus diracuni minda mereka dan yang paling bahaya ia akan menjejaskan aqidah, daripada takut hanya semata-semata kepada Allah kepada takutkan makhluk.

0 comments: