Monday, June 8, 2009

SulTan Muhammad Al-Fateh....


Assalamua'laikum pembaca sekalian, diharapkan sihat-sihat blako hendaknya serta sentiasa dibawah payung rahmat Allah.Disini sukalah untuk penulis berkongsi dengan pembaca tentang seorang tokoh yang sangat dikagumi oleh umat Islam mahaupun barat, iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh, seorang pemimpin Agung tentera Islam yang berjaya membebaskan bumi Konstantinopel dari cengkaman musuh Islam.

Penulis melihat, generasi muda umat Islam hari ini perlu mengkaji dan meneliti akan sejarah perjalanan hidup tokoh hebat ini, dengan harapan akan lahir golongan muda yang bertakwa yang mampu memimpin umat Islam daripada terus hanyut dan leka dengan godaan Syaitan dan hawa nafsu.

Sultan Muhammad Al-Fateh atau nama sebenarnya Muhammad B Murad telah dididik sejak kecil lagi dengan cirri-ciri kepimpinan yang unggul. Antaranya

a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat

d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta


Kota Konstantinople dari segi strukturnya amat hebat sehingga boleh dikatakan hampir mustahil untuk ditembusi oleh tentera Islam, sejak Rasulullah bersabda bahawa Kota Konstantinople ini akan berjaya ditakluki oleh pemerintah yang baik, memimpin tentera yang baik sepanjang zaman, telah banyak percubaan untuk menawan kota ini, namun gagal, contohnya sahabat nabi Abu Ayub Al ansari telah mengepung Kota itu selama 7 tahun namun tetap gagal.

Hanya 800 selepas itu barulah apa yang disabdakan nabi menjadi realiti, Sultan Muhammad Al Fateh berjaya membuka Kota tersebut pada 29 Mei 1453.Sebenarnya kejayaan ini tidak diperolehi dengan mudah sebaliknya perancangan yang rapi telah dimulakan sejak sekian lama, iaitu bermula dari Sultan Muhammad berumur Sembilan tahun lagi.
Lihat para pembaca sekalian, tanpa perancangan yang rapi serta lemah pergantungan kepada Allah mustahil misi besar ini mencapai kejayaan.


Bapa Sultan Muhammad, Sultan murad telah memilih guru-guru yang terbaik untuk mendidik anak Raja ini.
Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal Al-Quran, dilatih untuk sembahyang malam, dibentuk menjadi wara’ dan zuhud, diasuh mencintai ilmu dan ulama, mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Beliau juga diajar matapelajaran sejarah, geografi, dan bidang ketenteraan sebagai persediaan menakluk Kota Konstantinople.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi, kajian yang mendalam tentang kekuatan pihak musuh beserta keyakinan kepada Allah taala beliau berjaya membuka Kota Konstantinople dan membenarkan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah.

Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur. Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".

Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".
Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".

Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah! Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

Disini dapat kita mengambil pengajaran bahawa kekuatan rohani amat penting untuk mendidik jiwa lebih berdisiplin, seterusnya mampu menzahirkan tingkah laku yang baik serta mendapat petunjuk dan bimbingan dari Allah taala yang akhirnya akan menghasilkan natijah yang amat baik.Maka penulis menyeru agar setiap yang bergelar pemimpin agar memperkasakan dari sudut kekuatan rohani kita dan percayalah kita juga mampu menjadi pemimpin umat Islam yang berkaliber dan berkualiti.



0 comments: