Friday, June 19, 2009

UsRaH SejArAh daN PeRaNaN...


Assalamua'laikum pembaca-pembaca sekalian, moga sentiasa didalam payung
rahmat sentiasa hendaknya. Penulis pasti ramai dikalangan
pembaca sekalian memahami apa itu usrah dan pernah dididik
dengan kefahaman Islam melalui usrah.
Namun penulis percaya sebahagian besar daripada kita masih
kurang jelas akan peranan dan matlamat usrah itu sendiri.


Perjuangan menegakkan Islam memerlukan penggerak dan pendokong yang
ramai serta memiliki kefahaman dan fikrah yang jelas tentang
apa yang diperjuangkan. Proses doktrinisasi dan suntikan kefahaman
tentang Islam inilah yang dilakukan didalam usrah.
Dalam kalimah Arab usrah bermaksud keluarga, keluarga yang diikat dengan
hubungan kekeluargaan, darah dan keturunan.


Dalam konteks
Haraki pula usrah bermaksud satu unit kekeluargaan yang diikat
dengan kesatuan Aqidah(Wehdatul Aqidah), kesatuan fikrah(wehdatul fikr)
serta kesedaran untuk saling membantu memperkukuh jemaah Islam
bagi membolehkan kerja-kerja amal jama'ie dapat dijalankan
dengan berkesan dan sistematik kearah mencapai matlamat
yang Agung iaitu menegakkan Khilafah Islamiyyah.


Allah berfirman “..Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

(Al-Hujurat : ayat 13)

Sejarah Ringkas Usrah

Usrah merupakan antara sunnah nabi semasa permulaan dakwah nabi
secara rahsia. Rumah salah seorang sahabat nabi yang bernama
Al-Arqam bin Abi Arqam dijadikan tempat usrah nabi
bersama para sahabat dijalankan. Usrah ini dilakukan secara
sirr(rahsia) bagi mengelakkan ancaman kafir Quraisy.


Namun secara khususunya usrah yang kita jalankan sekarang
bermula apabila Almarhum Hassan Al-Banna mengasaskan
Ikhwanul Muslimin pada tahun 1927 di Mesir beberapa tahun
selepas keruntuhan Khilafah Islamiyyah yang terakhir
di Turki. Beliau mula membina tanzimnya tersendiri
dengan matlamat mengembalikan semula Khilafah Islamiyyah
yang telah hilang,namun belum sempat usaha murni beliau
tercapai, Allah lebih dahulu menjemput beliau sebagai
Syuhada. Asas yang telah dibina beliau telah diteruskan
oleh gerakkan Islam di seluruh dunia sehinggalah ke hari
ini.

Matlamat Usrah

1) Menghimpunkan ahli jamaah dalam kelompok kecil di bawah
pimpinan naqib bagi memudahkan pengisian dan tarbiah.

2) Mewujudkan ikatan kekeluargaan Islam di kalangan ahli
sehingga wujudnya wehdatul fikr dan wehdatul amal yang mantap.

3) Untuk melatih ahli-ahli mengenali dan memahami kaedah
bermuamalah dengan pimpinan dan nuqaba dan bentuk muamalah
yang betul sesama rakan seperjuangan

4) Untuk mengenal pasti secara detail dan tepat keadaan mad'u
dari sudut kefahaman, kemampuan, kelemahan, iltizam, masalah keluarga
kebajikan, kecenderungan, pemikiran dan sebagainya.

5) Untuk menyalurkan taujihat-taujihat dan thaqafah Islamiyyah
secara mantap(berdasarkan manhaj) kepada mad'u

6) Memudahkan sebarang arahan-arahan penting, segera dan strategi
semasa disalur, diselaras dan dikemaskini secara selamat
dan berkesan

7) untuk melahirkan tenaga-tenaga amilin dan mujahidin yang mampu
melaksanakan tugas-tugas dan program-program jemaah dengan
jaya dan berkesan

8) Untuk menyalurkan masalah ahli dan menyelesaikan masalah tersebut
dengan lebih berkesan

Justeru penulis berpesan kepada diri dan pembaca sekalian
agar kita selaku nuqaba dan naqibat memahami dan menghayati
sepenuhnya peranan usrah diatas, supaya mad'u merasakan mereka
memperolehi manfaat yang besar daripada usrah dan dapat pula
menghayati peranan usrah sebenarnya.