Friday, January 15, 2010

pilihanraya kampus : di sebalik tabir

Hari ini 17 januari 2010, merupakan perhitungan terakhir buat calon-calon yang akan bertanding dalam pilihanraya kampus di Universiti Malaysia Terengganu. Seluruh mahasiswa UMT bakal mengundi calon-calon yang dirasakan layak untuk menaikkan suara mahasiswa ke peringkat lebih tinggi. Sudah pasti persiapan calon dan jentera masing-masing sepanjang minggu kempen begitu mantap dan penuh bersemangat untuk menang.

"Penting sangat ke nak pergi mengundi ni "? "buat apa nak ambil tahu tentang pilihanraya ni "? "Sesiapa pun calon sama je, bukan aku boleh jadi kaya pun"...itulah antara soalan dan jawapan yang biasa keluar dari mulut-mulut mahasiswa yang tidak sedar peranannya sebagai mahasiswa.


Kalau kita lihat dari sudut perkataan sendiri sudah menunjukkan makna yang begitu tinggi terhadap manusia yang digelar mahasiswa. 'Maha' merujuk kepada suatu penghormatan dan kedudukan yang begitu tinggi dan dimuliakan. Sebagai contoh 'maharaja', 'maha agung' dan istilah yang biasa digunakan orang islam ketika berdoa mengucapkan 'maha bijaksana', 'maha pemberi rezeki' dan sebagainya ketika berdoa.


'Siswa' pula merujuk kepada pelajar yang mengambil pengajian di universiti dan mempunyai hieraki tertinggi dalam masyarakat, maka boleh dirangkumkan untuk membawa satu makna 'manusia terpelajar yang mendapat penghormatan tinggi daripada masyarakat'.

Peranan mahasiswa begitu besar pada hakikatnya, mahasiswa adalah sebagai tempat rujukan masyarakat didalam pelbagai cabang-cabang masalah samada berkaitan dengan bidang profesional, agama dan sebagainya. Selain itu mahasiswa juga adalah sebagai 'check and balance' terhadap segala isu yang berkaitan didalam mahupun luar negara.

Masyarakat diluar memandang tinggi akan peranan yang boleh disumbangkan oleh mahasiswa kepada mereka, tetapi adakah kita selaku mahasiswa sekadar memberi harapan kepada masyarakat diluar sana, sedangkan pada masa yang sama mereka mengharapkan mahasiswa yang dikatakan golongan 'intelek' dan 'cerdik pandai' ini untuk memimpin mereka ?


'Memimpin' ? soalan ini perlu ditujukan semula kepada diri kita selaku mahasiswa, adakah mampu untuk 'mahasiswa' memimpin tanpa ada pengalaman, latihan dan pendedahan menjadi seorang pemimpin yang baik ? sudah barang pasti tidak mampu jika tiada pendedahan dan kesedaran dikalangan mahasiswa akan peri penting melatih diri menjadi seorang pemimpin berkaliber(bukan berkaki lebar) dan leka akan peranan dan tanggungjawab yang harus dimainkan mereka terhadap masyarkat.

Justeru, pilihanraya kampus adalah medan terbaik kepada mahasiswa yang sedar akan peranan mereka yang begitu besar terhadap masyarakat, untuk menampilkan bakat kepimpinan yang ada dan memperkasa kebolehan-kebolehan yang dimilki. Perlu diingat mahasiswa jugalah yang akan mencorakkan pentadbiran dan halatuju negara pada masa akan datang. Kuasa bukan segala-galanya, tapi tanpa kuasa sukar melakukan segala-galanya.

Adakah boleh berlaku perkara diatas sekiranya mahasiswa masih tidak mengerti tanggungjawab ini ? bagi penulis, jika setelah kita bergraduat, dapat pekerjaan yang baik, pakaian yang baik dan memikirkan hanya perkara yang berkaitan dengan kepentingan diri semata-mata, maka itu bukan kejayaan dalam ertikata yang sebenar kecuali jika masyarakat sekeliling mendapat manfaat dengan kehadiran kita (mahasiswa) ditengah-tengah masyarakat. Apabila masyarakat mendapat manfaat dengan kehadiran kita (mahasiswa) maka itulah produk yang telah berjaya dihasilkan melalui pengalaman-pengalaman memimpin semasa di universiti.


Selain itu, seorang mahasiswa muslim perlu melibatkan diri dalam proses pilihanraya ini bagi memenangkan calon-calon yang mempunyai fikrah yang jelas terhadap tuntutan mewujudkan bi'ah solehah di kampus masing-masing, ini menjadi satu kewajipan buat semua yang diberi kefahaman islam yang syumul oleh Allah taala. Dengan adanya kuasa ditangan golongan mahasiswa yang berfikrah islam, maka mudahlah usaha-usaha da'wah dijalankan dan mampu merealitikan suasana bi'ah solehah di kampus.

Semua ini adalah sebagai medan latihan terbaik buat para mahasiswa sebelum menjejakkan kaki di realiti dunia yang sebenar diluar sana, yang sudah pasti cabaran, dugaan dan rintangannya maha hebat buat maha siswa, dengan adanya sedikit bekalan yang diperolehi semasa di kampus, tidak sukar menghadapi mehnah dan tribulasi yang bakal mengancam, itulah sebabnya penting untuk mahasiswa melibatkan diri dalam pilihanraya kampus. Bukan untuk suka-suka, bukan untuk mencari populariti, tetapi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

0 comments: