Wednesday, October 13, 2010

kuasai lima ilmu fiqh


Dengan lafaz yang mulia bismillahirrahmanirrahim ku mulakan, untuk makluman pengunjung semua pada ketika ini penulis sedang dalam proses untuk menghabiskan membaca sebuah buku bertajuk "tokoh-tokoh besar gerakan islam dalam sejarah" karangan saari sungib. Disini penulis ingin berkongsi serba sedikit isi yang terdapat dalam buku tersebut yang bertajuk "lima ilmu fiqh yang mesti dikuasai oleh ahli gerakan islam".

realiti dakwah

Kemantapan ahli gerakan islam menguasai ilmu fiqh waqi' akan membolehkannya melakar strategi dakwah berkesan. Pemikir islam Anuar Abu Taha menjelaskan bahawa fiqh waqi' adalah ilmu yang berteraskan pemahaman tentang apa yang benar2 berlaku. Ilmu ini melibatkan proses mengenal pasti, menganalisis dan mentafsir isu, trend, anjakan paradigma, sentimen dan fenomena yang wujud dalam masyarakat. Fiqh waqi' menuntut aktivis dakwah untuk turun ke medan melihat realiti, bergelumang sendiri dengan kemelut masalah dan menyelami rintihan hati rakyat. Fiqh al-waqi' adalah ilmu yang membincangkan bagaimana gerakan islam dapat memahami keadaan semasa.

lima ilmu fiqh

Ulama terkemuka Syeikh Nasiruddin Al Albani menegaskan bahawa gerakan islam perlu kepada ilmu fiqh al waqi' bagi tujuan berwaspada daripada tipu helah musuh. Dalam konteks masyarakat sekarang yang pelbagai, Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa tuntutan terkini fiqh as-syariah hanya dapat dipenuhi dengan kefahaman yang baik terhadap fiqh waqi'.

Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradhawi lagi, bagi membolehkan gerakan islam memenuhi tuntutan syariah dalam waqi' semasa, lima lagi ilmu fiqh diperlukan. Ilmu2 itu adalah fiqh almaqasid, fiqh al-awlawiyyat, fiqh as-sunan, fiqh al-muwazanah dan fiqh al-ikhtilaf.

Fiqh al-maqasid

Adalah ilmu bagi mengenali tujuan-tujuan yang digariskan oleh syariat islam. Ia memberi satu perspektif menyeluruh dan terbuka terhadap objektif2 yang hendak dicapai oleh syariat islam dalam pelbagai sudut dan aspek kehidupan.

Ilmu ini berteraskan kepada prinsip untuk melindungi, mempertahankan serta mengukuhkan kemaslahatan sosioekonomi dan politik dalam aktiviti kehidupan manusia , mempertahankan karomah insan atau hak asasi manusia, antara lain adalah tunjang bagi fiqh al-maqasid.

Fiqh al-aulawiyyat

Adalah ilmu untuk membolehkan gerakan islam memahami keutamaan terhadap tindakan yang akan diambil dalam konteks memenuhi tuntutan perjuanganya. Ilmu ini juga secara objektif menggariskan tingkatan amal samada berupa strategik, taktikal ataupun operasional.

Kegagalan ahli haraki membezakan antara tiga tingkatan amal ini pasti akan menjadikan gerakan islam tidak berkesan dalam mencapai misi dan visi perjuangan. Pengenalan terhadap aulawiyyat yang tepat juga dapat mengelakkan gerakkan islam daripada bertindak secara subjektif dan sewenang-wenang.

Fiqh as-sunan

Adalah ilmu dalam memahami peraturan Allah dalam kejadiannya khususnya dalam peraturan politik dan kemasyarakatan. Peraturan ini merupakan hukum alam atau sunnatullah. Terdapat prinsip mendasari dalam hukum2 alam. Oleh itu ia wajib dikaji dan difahami seperti sunnah perubahan, sunnah kemenangan, sunnah kegagalan, sunnah kekalahan dan seumpamanya.

Fiqh al-muwazanah

Adalah ilmu bagi membolehkan gerakan islam menimbangkan antara maslahah dan mafsadah atau antara manfaat dan mudarat. Sesuatu itu dikira maslahah atau mafsadah biasanya berpandukan ketetapan syarak yang qat'ie, namun adakalanya ketetapan itu pula bersandarkan kepada suatu konteks tertentu.

Disinilah maklumat terkini yang menepati konteks realiti semasa amat diperlukan. Tujuanya agar dengan maklumat terkini ini ianya dapat memberi pencerahan dan kesegaran baru terhadap maslahah semasa yang dimaksudkan oleh syariat islam.

Gerakan islam wajib mewujudkan prasarana dan jentera bagi membolehkannya berterusan membuat kajian terhadap realiti sama ada di peringkat nasional mahupun global. Dengan itu ia akan sentiasa mampu bertindak berlandaskan maklumat yang terkemas kini.

Fiqh al-ikhtilaf

Adalah ilmu berkaitan kaedah-kaedah dan adab-adab perselisihan pandangan. Dalam konteks tradisional ia melibatkan aspek-aspek furu' fiqhiyyah. Dalam konteks gerakan islam, ia melibatkan perbezaan pandangan dari segi strategi, taktik, metodologi, pendekatan, uslub, polisi dan seumpamanya.

Walaupun kelima-lima ilmu fiqh ini disebut dalam bahasa arab, ia tidak sepatutnya menakutkan aktivis gerakan islam yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan syariah. Sebenarnya ilmu-ilmu ini bersifat praktikal dan hands on.

Dengan itu ilmu2 ini dapat digarap melalui penglibatan terjun terus kemedan, bersikap terbuka serta menghayati tarbiyyah yang berterusan . Pemerkasaan fiqh al-waqi' akan dicapai dengan mewujudkan lebih ramai pengikut dan pengamal dalam gerakan islam.

Allahu ta'ala a'lam

0 comments: