Monday, July 19, 2010

bahasa arab bahasa syurga

Apakah itu ilmu Nahu dan Sorof

Bahasa syurga ini adalah bahasa yang unik dan hanya boleh difahamkan kejelasannya dengan dua alat ilmu iaitu Nahu (grammar) dan Sorof (inflection). Kedua-duanya saling bergantungan antara satu sama lain dalam memperuntukan makna ke atas sesuatu kalimah.

Tidak semua orang mahir ilmu Nahu dan Sorof malah ilmu ini adalah antara madah (subjek) killer dalam peperiksaan sama ada di peringkat sekolah menengah, diploma hatta jika belajar di Timur Tengah sekali pun. Maka tidak hairanlah masih ramai pelajar Al-Azhar kurang mahir berbahasa Arab walaupun 10 tahun di sana.

Kehebatan Ilmu Nahu dalam pemecah rahsia akhir zaman

Ilmu Nahu dan Sorof mempunyai kelebihannya tersendiri dalam membongkar rahsia-rahsia Al-Quran dan persoalan akhir zaman.

Seorang ulama terkenal dalam bab Nahu iaitu Imam Al-Sonhaji telah menulis satu kitab yang menerangkan segala macam ilmu berkaitan nahu dari A hinggalah Z. Setelah selesai menulis kitabnya, beliau cuba menguji sama ada kitabnya itu bermanfaat atau tidak kepada umat Islam.

Sambil melemparkan kitabnya itu di dalam sungai, beliau berdoa kepada Allah jika kitabnya itu mengalir bersama air sungai maka ia tidaklah membawa manfaat tetapi jika ia (kitab) tetap bertahan tanpa mengikut arus sungai dan timbul maka ia sangat bermanfaat untuk masyarakat.

Tiba masanya ia melempar kitabnya itu di dalam sungai, maka didapatinya kitab tersebut timbul, tidak bergerak dan terus bertahan tanpa mengikut arus sungai. Amat berbesarlah hati Imam Al-Sonhaji melihat keajaiban itu maka dinamakan kitab nahu itu dengan Matan Al-Jurumiyah.

Pembelajaran Nahu masa kini

Kitab ini tidak dipelajari oleh sesiapa yang mengambil mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi (SPM), Al-Quran Sunnah (SPM), Syariah Islamiyah (SPM), Bahasa Arab Komunikasi (PMR), Usuluddin (STPM) atau Syariah (STPM). Sekiranya guru bahasa arab itu mahir dan berasal dari sekolah pondok kemungkinan barulah akan ada kelas tambahan menerangkan tentang kitab Matan Al-Jurumiyah.

Kitab ini hanya dipelajari secara konsisten oleh pelajar-pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) atau Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)dan sekolah-sekolah pondok sahaja. Kebiasaan di sekolah-sekolah pondok tuan guru akan meminta si murid menghafal keseluruhan kitab sama ada secara berlagu atau apa-apa sahaja walaupun tidak mengetahui maksudnya.

Selepas menghafal keseluruhannya, barulah tuan guru akan menghuraikan satu persatu setiap kalimah yang dihafal untuk di i’rabkannya. Itulah kelebihan belajar di sekolah pondok, walaupun usang dari segi kemudahan tetapi ilmunya adalah pemecah rahsia akhir zaman.

Untuk mengetahui sama ada seseorang ustaz yang mengajar di masjid itu mahir ilmu nahu atau tidak adalah mudah. Biasanya guru-guru agama itu hanya akan mengajar kitab-kitab tulisan jawi seperti Pelita Penuntut, Mastika Hadith atauTafsir Juz Amma. Ramai pendengar kuliah tidak tahu ada dua jenis tulisan di dalam kitab-kitab yang dipelajari di masjid iaitu kitab jawi dan kitab arab.

Sesetengah guru agama cuba mengelak untuk menggunakan kitab arab dan meminta sendiri kitab-kitab yang akan diajar kepada pengerusi masjid. Antara kitab yang paling popular dan mudah adalah mastika hadith, hadith 40 dan Juz Amma kerana kitab-kitab ini mudah diajar dan memberi banyak ruang untuk penceramah berceloteh.

Nahu berbeza dengan bahasa arab yang dipelajari pada Kelas Aliran Agama (KAA) yang terdapat sekolah-sekolah menengah kebangsaan. Tidak semestinya orang yang lancar bercakap arab mahir di dalam ilmu nahu. Ia seperti mana juga tidak semua orang Melayu yang bercakap Melayu mahir tatabahasa Melayu.

Wallahu’alam …

sumber(http://ibnuyaacob.com)

0 comments: