Tuesday, September 21, 2010

ilmu haraki


Penulis-penulis haraki menggariskan antara lain manhaj atau metodologi gerakan islam sekarang mestilah bersifat waqi'i iaitu mengambil kita waqi' atau realiti sekeliling. Pemikir gerakan islam masa kini, Sheikh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menegaskan bahawa dewasa ini perlu wujud ilmu fiqh, peringkat pertama ialah fiqh as-syariah dan peringkat kedua adalah fiqh waqi'i.

Fiqh as-syariah adalah ilmu yang didasarkan kepada tuntutan nas dan dalil alQuran dan as-Sunnah dan segala roh yang berkaitan dengan tuntutan syariat. Ilmu fiqh diperingkat ini memberi tumpuan dalam menepati maqasid syariah atau maksud syariat islam itu diturunkan oleh Allah.

Dasar utama yang bersifat sejagat kepada fiqh as-Syariah adalah ia ditegakkan demi mencapai maslahah kehidupan manusia didunia dan di akhirat. Dari segi perlaksanaannya pula ia ditumpukan bagi melindungi pelbagai kepentingan manusia , organisasi dan masyarakat menurut keutamaan ad-doruriyyah, al-hajiyyah dan at-tahsiniyyah.

Dr Yusuf al-Qaradhawi menegaskan lagi bahawa fiqh al-waqi' pula adalah ilmu yang didasarkan kepada kajian dan tuntutan realiti semasa. Ia merangkumi semua aspek semasa berdasarkan maklumat terkini yang tepat.

Dalam konteks ini, gabungan antara kedua-dua peringkat fiqh as-syariah dan fiqh al-waqi' amat diperlukan bagi membolehkan gerakan islam mewujudkan kemantapan dari segi strategi dakwahya.

Namun dalam konteks fiqh as-syariah, ia bukanlah bidang untuk ditangani oleh orang awam, ia memerlukan penguasaan ilmu-ilmu al-Quran dan as-Sunnah disamping pemahaman fiqh dan usul fiqh yang mendalam. Kebiasaanya bidang ini hanya dimiliki oleh ulama dan fuqaha.

Bagaimana organisasi yang berdaya maju hari ini, perancangan strategik adalah satu proses yang bersifat bottom up dan top down. Ini bermakna semua lapisan aktivis dalam organisasi terlibat sama dalam melakar dan menjayakan strategi organisasi.

Sekiranya ilmu-ilmu teras, fiqh dan usul fiqh mertupakan bidang ulama dan faqih, apakah pula peranan ahli-ahli biasa pada hari ini dalam menggariskan strategi gerakan islam dalam konteks waqi' dan realitinya?

0 comments: